NAZA Blade TBR 2013 Edition merupakan produk terbaharu hasil kerjasama di antara NAZA Bikes dan TBR Asia.
NAZA Bikes dan TBR Asia baru-baru ini memperkenalkan produk hasil kerjasama mereka sejak tahun lalu. Diberi nama NAZA Blade TBR 2013 Edition, jentera itu hadir dalam varian 250cc dan 650cc. Seperti namanya, NAZA Blade TBR 2013 Edition dibina berasaskan model popular Naza Bikes, Blade.
TBR Asia telah dilantik sebagai pengedar produk Two Brothers Racing (TBR) di Malaysia pada Oktober 2011. Two Brothers Racing terkenal dengan sistem ekzos aftermarket dan aksesori berprestasi tinggi untuk motosikal.
Harus tahu bahawa NAZA Blade TBR 2013 Edition telah dibangunkan secara bersama oleh Two Brothers Racing dari Amerika Syarikat dan NAZA Bikes. Penekanan diberikan kepada aspek prestasi perlumbaan dan estatik.
NAZA Blade TBR 2013 Edition merupakan model yang dinaik taraf. Ia meliputi sistem ekzos berprestasi tinggi TBR yang lebih ringan berbanding ekzos standard. Ia juga meningkatkan kuasa kuda jentera sebanyak lima peratus. NAZA Blade TBR 2013 Edition 250R dan 650R ditawarkan pada harga RM18,000 dan RM26,000 seunit.
Motosikal ini nyata menyerlah menerusi logo TBR, warna terang dan rekaan stiker. Penambahbaikan yang lain termasuklah tempat duduk dan brek. Namun ia hanya untuk varian 650R.
Kepada mereka yang mungkin kurang arif tentang Naza Blade, jentera itu sebenarnya terdiri daripada varian naked, cruiser dan sports bike. Dengan sesaran enjin 250cc dan 650cc, ia ditawarkan pada harga berpatutan. Blade dijana oleh unit enjin V-Twin 75 darjah (model 250cc), Double Overhead Cam (DOHC), Electronic Fuel Injection (EFI) dan enjin V-Twin 90 darjah untuk model 650cc.
Sarat dengan pelbagai ciri yang ditambah baik, kedua-dua jentera itu hadir bersama jaminan selama setahun. Sebagaimana yang diketahui, Blade ialah produk hasil kerjasama teknologi di antara pengeluar motosikal dari Korea, Hyosung dan Naza Bikes.
“Sports bike Naza Blade 250cc menjadi model paling laris sejak 2011 dengan jualan sebanyak 120 unit sebulan dan menguasai hampir 50 peratus pasaran. Sehingga kini, NAZA Bikes telah menjual 1,000 unit NAZA Blade pada tahun ini.
“Pasaran motosikal di ASEAN dijangka mencecah 13 juta unit. Segmen 250cc hingga 800cc menyaksikan pertumbuhan pesat terutama di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Justeru, ia merupakan peluang terbaik buat NAZA untuk menjadi antara pemain utama segmen motosikal sedemikian. NAZA juga akan mengambil langkah tertentu bagi memastikan kami terus mengikuti trend semasa,” kata Pengerusi Eksekutif bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal Tan Sri SM Nasimuddin.
NAZA Bikes mensasarkan jualan sebanyak 2,400 unit NAZA Blade 250cc yang mewakili 60 peratus perkongsian pasaran. Demi meningkatkan kapasiti pengeluaran, NAZA World telah melabur sebanyak RM500,000 untuk mewujudkan saluran produksi yang baru dan dijangka siap menjelang Mac 2013.
NAZA World juga merancang untuk mengeksport NAZA Blade 250cc ke Kemboja pada suku pertama 2013. Selain mengeksport NAZA Blade 250cc dan 650cc ke Indonesia pada suku kedua tahun depan.
“Kerjasama TBR Asia dengan NAZA Bikes adalah selari dengan pertumbuhan permintaan terhadap motosikal berkuasa tinggi yang signifikan. Dengan menggabungkan elemen prestasi dan estetik, kami menawarkan satu pakej menarik pada nilai yang cukup berbaloi,” jelas Pengurus Rantau ASEAN TBR Asia, Lovella Ng Francisco.
No comments:
Post a Comment